Kesalahan curi kali pertama potong tangan kanan, kesalahan kedua potong tangan kiri.



KOTA BAHARU, KELANTAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan rang undang-undang hudud di negeri itu.

Antara hukuman yang diperuntukkan di bawah kanun itu adalah bagi kesalahan
mencuri kali pertama, pesalah akan dipotong tangan kanan, kesalahan kali kedua
dipotong tangan kiri dan kesalahan kali ketiga pula dipenjara tidak melebihi 15
tahun.

Namun begitu, hukuman potong tangan hanya boleh dijalankan sekiranya cukup syarat atau sifat. 

Banyak pihak tidak kira yang beragama Islam ataupun Bukan beragama Islam telah bingung dan salah sangka akibat daripada penyebaran informasi yang tidak sahih dan telah mengakibatkan hukum Hudud ini dianggap kejam dan tidak adil.

Malah orang yang bukan beragama Islam telah pandang serong akan hukum Hudud ini. Di bawah ini merupakan penjelasan sedikit tentang hukum HUDUD ke atas Mencuri.

Maafkan saya jika penulisan saya mempunyai cacat cela dan kesalahan dan mohon diperbetulkan jika terdapat kesalahan.

Apabila kita membicarakan hukum hudud yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW maka hukum hudud dijalankan ke atas 7 kesalahan jenayah hudud iaitu

1. Zina
2. Menuduh zina
3. Minum arak
4. Mencuri
5. Merompak
6. Murtad
7. Penderhakaan

Perbicaraan kita kali ini adalah kesalahan jenayah hudud yang ke 4 iaitu hukum mencuri.

Pertama sekali ialah apa yang perlu istilah ‘curi’ itu sendiri dalam perundangan Islam? Curi yang dimaksudkan dalam perundangan Islam ialah mengambil harta secara sembunyi dari pemiliknya atau wakilnya, dengan syarat mencukupi nisab potong tangan, dan mengeluarkan dari tempat penjagaan atau seumpamanya, dan tidak ada unsur syubhah ke atas harta tersebut [Nizham al-U’qubat, Abd Rahman Maliki, halaman 60].

Perintah Allah SWT. di dalam al-Quran mengenai hukuman potong tangan ke atas pencuri adalah termaktub dalam surah al-Maidah ayat 38:

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah . Dan Allah . Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Maidah ayat 38)

Hukuman potong tangan tidak akan dijatuhkan melainkan memenuhi 7 syarat utama:

Pertama:

Menepati definisi mencuri iaitu mengambil harta secara sembunyi atau sorok-sorok. Seseorang itu tidak dikatakan mencuri jika merompak, menggelapkan wang (pecah amanah), merampas dan meragut. Sekiranya seseorang peguam menggelapkan matawang pelanggannya, ia tidak termasuk dalam jenayah kecurian yang dikenakan hukuman potong tangan. Namun begitu, mereka akan dikenakan hukuman takzir yang mungkin lebih berat daripada potong tangan. Kesalahan ini tidak dikategorikan sebagai curi kerana ada hadis dari Jabir bahawa Nabi Muhammad SAW. bersabda:

“Tidak dipotong tangan orang yang pecah amanah, orang yang menipu dan orang yang merampas” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kedua:

Barang yang mencuri mencukupi nisab. Cukup nisab adalah syarat minima nilai harta yang dicuri. Jumhur ulama’ iaitu Maliki, Syafie, dan Hambali bersepakat bahawa nisab barang kecurian itu adalah seperempat dinar atau 3 dirham. Satu dinar adalah setara dengan 4.25 gram emas (24 karat). Ini adalah berpandukan kepada hadis Nabi Muhammad SAW dari Aisyah r.a. :

“Tangan pencuri dipotong untuk seperempat dinar atau lebih” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari hadis ini, dapat kita simpulkan bahawa nisabnya ialah ¼ x 4.24 gram = 1.0625 gram. Sekiranya harga emas pada hari ini ialah RM180.00/g maka 1.0625 gram x RM180 = RM191.25. Oleh itu, nisab kecurian ialah RM191.25. Sekiranya seseorang itu mencuri barangan bernilai RM190.00 maka tangannya tidak akan dipotong kerana belum cukup nisab dan dia akan dikenakan hukuman takzir.

Ketiga:

Harta yang dicuri adalah harta yang layak dimiliki mengikut hukum syarak. Jika seseorang Muslim menyimpan arak atau khinzir di rumahnya kemudian dicuri, maka ia tidak akan menyebabkan pencuri dihukum potong tangan kerana harta tersebut bukanlah satu pemilikan yang layak untuk orang Islam. Tetapi, sekiranya pencuri tersebut mencuri dari orang kafir, maka pencuri tersebut akan dikenakan hukuman potong tangan.

Keempat:

Harta dicuri adalah dari tempat penjagaan iaitu barang yang dicuri itu berada dalam penjagaan, simpanan atau pengawasan pemiliknya. Bentuk penjagaan ini terdiri dari 2 kategori iaitu:

1. Ia dibuat khas untuk menyimpan seperti peti besi untuk perhiasan dan wang, kandang untuk binatang, jelapang untuk padi dan sebagainya yang dimaklumi masyarakat.

2. Bukan tempat penyimpanan khusus nama termasuk cara umum di mana seseorang berada di situ dan orang lain tidak boleh mengambilnya melainkan mendapat keizinannya.

Contohnya adalah seseorang yang duduk/tidur di masjid dan meletakkan beg di sisinya. Ini termasuk dalam penjagaan. Konsep ‘pengawasan’ terhadap harta ini adalah berbeza antara satu harta dengan harta lain.

Ulama fiqh bersepakat mengatakan jika satu pintu stor atau kandang terbuka, atau bahagian dindingnya rosak maka ini akan menghilangkan sifat penjagaan, maka pencuri itu tidak dipotong tangan, namun mereka akan dikenakan hukuman lain.

Dari Amru bin Syuaib dari bapanya dan dari datuknya berkata “Aku mendengar seorang lelaki dari Bani Muzainah bertanya kepada Rasulullah tentang sangkar yang ada lubang: Maka Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Pencuri itu kena bayar 2 kali ganda harganya dan dipukul sebagai teladan balasan seksa, namun jika dia mencuri unta atau kambing dalam pengawasan untuk minum air maka tangannya akan dipotong jika harganya menyamai 8 mijan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Begitu juga dalam hadis lain yang menceritakan perihal orang yang mencuri buah semasa berada ditangkai, maka mereka ditakzir dengan nilai dua kali ganda, tapi jika mereka mencuri dari stor maka mereka akan dipotong tangan jika cukup nisabnya.

Kelima:

Bukan harta syubahat: Dalam harta yang dicuri tidak ada bahagian hak pencuri atau yang membolehkan pencuri itu memakannya. Ini bermakna tidak dikenakan hukuman potong tangan sekiranya si ayah mencuri harta anaknya atau sebaliknya.

Ini berpandukan kepada sabda Nabi Muhammad SAW. “Kamu dan harta kamu adalah milik bapa kamu”. Baginda juga bersabda “Sebaik-baik orang itu adalah orang yang memakan hasil usahanya sendiri, dan anaknya juga memakan hasil usahanya.”

Seorang yang mencuri harta dari Baitul Mal juga tidak dipotong tangan kerana Baitul Mal adalah harta bersama di mana di dalamnya terdapat hak si pencuri sebagai rakyat meskipun kecil bahagiannya.

Sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW bila seseorang ditangkap kerana mencuri khumus (1/5 dari rampasan perang yang dikhaskan kepada Rasulullah). Ibn Abbas menceritakan bahawa kes ini dibawa kepada Rasulullah, tetapi baginda tidak memotong tangannya, sebaliknya bersabda:

“Harta Allah dicuri di kalangan sendiri” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Semasa pemerintahan Saidina Umar al-Khatab dan Saidina Ali r.a. juga terjadi kecurian di Baitul Mal namun mereka tidak memotong tangan, kerana kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) di atas harta itu. Begitu juga kalau salah seorang suami-isteri mencuri harta pasangannya, maka hukum potong tangan tidak dijalankan kerana mereka saling berkongsi dalam pemilikan harta.

Keenam:

Pencuri itu akil-baligh dan terikat hukuman dalam Islam. Taklif ini jatuh untuk semua orang termasuk kafir zimmi. Ini berpandukan kepada hadis Nabi Muhammad SAW :

"Diangkat pena (dosa) dari 3 pihak, orang yang tidur sehingga dia bangun, kanak-kanak sehingga dia baligh, dan orang yang gila sehingga dia berakal” (Hadis Riwayat Muslim)

Ini bermakna taklif hukum terkena kepada orang yang berakal dan baligh. Pencuri kanak-kanak atau orang gila tidak akan dipotong tangan. Adapun kafir zimmi juga akan dipotong tangan mereka sebagaimana orang Islam.

Ketujuh:

Disabit kesalahan mencuri dengan pengakuan atau disaksikan oleh saksi yang adil. Pengakuan mencuri dalam sidang penghakiman akan menyebabkan seseorang itu boleh disabit dengan pencurian. Dari Abu Umaiyah Makhzumi menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah memerintahkan potong tangan seorang yang datang mengaku mencuri walaupun benda yang dicurinya tidak ada ditangannya (Hadis Riwayat Ahmad).

Manakala jika kes dibawa dan pembuktian diperlukan, keperluan untuk menjadi saksi kes kecurian ialah 2 lelaki atau 1 lelaki dan 2 wanita berasaskan nas umum saksi dalam surah al-Baqarah ayat 282.

Dapat disimpulkan di sini bahawa hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri adalah mempunyai syarat-syaratnya tertentu dan ia bukannya perlu dilaksanakan secara melulu apatah lagi ia tidak termasuk skop ragut dan pecah amanah. Apa yang lebih penting lagi orang bukan Islam iaitu orang kafir Zimmi tetap akan dilaksanakan hukuman potong tangan kanan jika disabitkan bersalah dan memenuhi ketujuh-tujuh syarat tersebut . Wallahu a'lam

Sahabat yang dikasihi,

Jelaslah kepada kita bahawa perlaksanaan Hukum Hudud Potong Tangan bukanlah suatu yang mudah ingin dilaksanakan jika tidak memenuhi syatat-syarat yang ditetapkan. Jika syarat tidak mencukupi seperti tidak cukup nisab atau cukup nisab tetapi harta tersebut tidak dijaga dengan baik maka hukum hudud potong tangan tidak akan dijalankan. Pernah berlaku dizaman Khalifah Umar al-Khattab seorang mencuri harta seseorang kerana kelaparan maka beliau tidak menjatuhkan hukum hudud potong tangan kerana ajaran Islam tidak pernah menzalimi manusia yang berada di dalam kemiskinan dan kesusahan. Masyarakat Islam yang menghina hukum hudud ini katanya tidak sesuai di dalam masyarakat majmuk adalah mereka yang telah rosak akidahnya dan wajib bertaubat dan kembali kepada keimanan yang sebenarnya kepada Allah SWT.

Bagi kesalahan merompak, pesalah boleh dihukum bunuh atau disalib, dihukum
bunuh jika mangsa dibunuh tetapi hartanya tidak diambil dan dipotong tangan
kanan dan kaki kiri jika harta sahaja diambil.

Selain itu, bagi kesalahan zina, pasangan yang berkahwin boleh direjam
sehingga mati manakala belum berkahwin boleh disebat 100 kali dan penjara
setahun.

Kesemua 44 anggota dewan meluluskan rang undang-undang berkenaan dengan sebulat suara. Sejarah tercatat apabila kesemua 12 anggota DUN Kelantan dari Barisan Nasional turut menyokong rang undang-undang itu yang dibentangkan kerajaan negeri pimpinan PAS melalui Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Hukum hudud itu bagaimanapun hanya akan digunakan kepada orang Islam sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri itu.

PELAKSANAAN HUDUD TERTANGGUH 20 TAHUN

Sebelum ini, Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau dikenali hukum hudud, qisas
dan takzir, tertangguh pelaksanaannya selama lebih 20 tahun selepas ia diluluskan DUN Kelantan pada 1993. Ini kerana adanya kekangan dari segi perundangan.

Usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan kanun berkenaan menempuh pelbagai
kontroversi terutama tentangan daripada orang bukan Islam khususnya DAP iaitu
rakan PAS dalam pakatan pembangkang.

Semalam, parti Gerakan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini,
bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 itu.

HANYA TERPAKAI KEPADA ORANG ISLAM MUKALLAF SAHAJA

Beberapa pindaan dibuat pada kanun berkenaan iaitu ia hanya terpakai kepada
orang Islam mukallaf sahaja berbanding sebelum ini yang memberi pilihan kepada
orang bukan Islam untuk memilih pemakaian undang-undang itu ke atas
mereka.

Pindaan turut dibuat pada Seksyen 15(2) kanun tersebut dengan penambahan
peruntukan hukuman takzir bagi kesalahan liwat ke atas isteri.


Pindaan lain adalah tentang kelayakan hakim, pemberhentian hakim, gaji dan
elaun hakim serta struktur mahkamah daripada Mahkamah Agung kepada Mahkamah Persekutuan dan penukaran kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang wujud daripada Suruhanjaya Kehakiman Negeri yang belum wujud.


Pindaan turut dilakukan pada struktur ayat untuk disesuaikan dengan
undang-undang sedia ada.


Kanun ini juga menyediakan peruntukan untuk kesalahan hudud dan hukuman bagi
tujuh kesalahan iaitu sariqah (mencuri), hirabah (merompak), zina, liwat, qazaf,
syurb (minum arak) dan irtidad (murtad).


KESALAHAN MINUM ARAK DAN MURTAD


Kesalahan qazaf pula, pesalah boleh dihukum sebat sebanyak 80 kali dan minum
arak pula, sebatan tidak lebih 80 kali dan tidak kurang 40 kali.


Bagi kesalahan murtad pula, mesti bertaubat dalam tempoh tiga hari dan jika
enggan, boleh dihukum bunuh.





0 Response to "Kesalahan curi kali pertama potong tangan kanan, kesalahan kedua potong tangan kiri."

Post a Comment